Permainan dikir barat adalah satu teater tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan dan Pattani. Tidak seperti teater yang lain, pemainan ini lebih popular dalam kalangan masyarakat biasa daripada golongan istana. Dikir barat boleh dipersembahkan sebagai hiburan ataupun pertandingan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat tani pada musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan serta berkhatam. Perkembangan teater ini amat unik kerana dikir barat sering berubah bentuk persembahan bentuk persembahan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman. Perkataan dikir adalah hasil kombinasi dua perkataan iaitu dikir dan pantun atau dikir dan karut. Pengertian karut itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi dikir barat, dikir karut, dikir pantun dan syair merujuk kepada perkara yang sama. Walau bagaimanapun, di Kelantan permainan ini lebih dikenali sebagai dikir barat dan di Pattani sebagai dikir karut.