Dalam permainan ataupun persembahan dikir barat selalunya ada dua pasukan yang mengambil bahagian pada sesuatu masa. Mereka akan berbalas pantun, sindir menyindir ibarat orang berkelahi. Walau bagaimanapun, keadaan ini hanya dianggap sebagai hiburan dan disampaikan dalam loghat Kelantan. Permainan atau persembahan biasanya akan dimulakan dalam sunyi dan sepi pada pukul 10 malam. Manakala awok-awok pula akan mengambil tempat masing-masing iaitu duduk bersila mengelilingi pembesar suara ibarat orang yang sedang menghadapi satu hidangan.